Friday, August 29, 2008

Nukilan Merdeka.....


Sudah 51 tahun kita mengibarkan bendera kemerdekaaan. Ranjau sepanjang perjalanan itu banyak menuntut airmata dan pengorbanan. Nenek moyang kita telah menunaikan tanggungjawab menyediakan keselesaan, keamanan serta kemakmuran. Generasi sekarang hanya menuai segala pengorbanan generasi dahulu yang berkorban jiwa raga untuk kita.
Ibarat putaran roda. Kini masa untuk kita pula mengulangi putaran tanggungjawab itu. Memastikan generasi selepas kita masih terus mengecap nikmat sebenar rakyat merdeka. Ramai rakyat Malaysia bangga menjadi rakyat yang menjunjung tinggi kedaulatan Raja Melayu dan hidup bersatu padu didalam masyarakat majmuk dan berbilang kaum.
Sadisnya, sejak kebelakangan ini senario keamanan mula tergugat. Anak-anak kita dihidangkan dengan berbagai rencah ceritera untuk dilihat dan dirasa. Segala benda yang dulunya tidak pernah terfikir dibenak fikiran semakin menunjukkan belang. Perpaduan sesama kita mula berpecah. Dan ramai diluar pagar bertepuk tangan!

Dimana bumi dipijak.
Disitu lidah bermadah.
Hitam Putih langkah berinjak.
Generasi depan menerima padah.

Kita sesama kita bertelingkah bukan lagi satu dalam seribu. Hak kita diganggu gugat bukan lagi satu kehairanan.
Hari ini kita masih mampu bertegas dan bertahan. Bagaimana 51 tahun akan datang? Ya! tika dan saat itu mungkin kita sudah pejam mata tapi alangkah sedihnya kalau cucu cicit kita terkena tempiasnya!
Gema suara rakyat makin kuat gemanya setiap hari. Bukankah itu yang kita mahukan selama ini.? Kita bangga anak-anak kita petah berbicara masa kecil dan sayangnya mereka semakin 'petah' setelah remaja dan dewasa. Hingga kadangkala 'kepetahan' mereka melampaui adat dan tatasusila. Maka salahkah ibu yang mengandung?
Hala tuju kecemerlangan masa depan bermula hari ini. Intergriti politik antara penyumbang kearah itu. Demokrasi memberi kita hak untuk memilih. Pilihlah sesiapa sahaja. Tapi jangan sesekali diperjudikan perpaduan sesama umah. Hak orang melayu dan kedaulatan Raja Melayu jangan diusik dan dibawa bergurau. Jangan dipercik api perkauman kelak membakar banyak jiwa.
Malaysia tanah tumpah darah saya. Saya sayangkan Malaysia lebih dari segala. Disini saya mengenal erti dunia dan rencah diri. Disini saya bertemu kasih dan membina kehidupan. Saya pernah merantau dunia luar. Pernah melihat dan merasa manisnya negara orang. Dan orang boleh berkata apa sahaja tentang negara saya. Namun itu tidak sedikit mengugat kesetiaan dan jati diri anak Malaysia berdarah Melayu!
Demi Tuhan...hanya MALAYSIA dihati saya.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-51 TAHUN.
SEMOGA MALAYSIA TERUS AMAN, MAKMUR DAN TERBILANG.

No comments:

ALAF21

ALAF21